PENGUMUMAN

PERHATIAN
kepada semua bekas pelajar SMU(A) Khairiah, mohon kerjasama untuk mengisi borang ahli EX-SOK. Bagi mengumpul data-data anda semua. Yang sudah mengisi borang sebelum ini sila upload gambar anda bersama. Untuk daftar sebagai ahli "klik button dibawah" Segala kesulitan, kami dari pihak blogger EX-SOK memohon ribuan kemaafan. Syukran

Sahabat EX-SOK

salam ziarah

Jumaat, 10 September 2010

Majlis Sambutan Hari Raya 2010


Seperti biase setiap tahun, EXSOK akan mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya @ juga boleh dikatakan sebagai majlis Reunion yang menjadi perkara wajib setiap tahun bagi mengeratkan lagi silaturrahim antara sahabat-sahabat & guru. Kali pertama diadakan pada tahun 2007 secara tidak formal sehinggalah tertubuhnya persatuan ini.

Pada kali ini, kami dari pihak organisasi kerja amat mengharapkan kehadiran bekas2 pelajar & juga guru2 bagi memeriahkan majlis tersebut.. Sekaligus merapatkan kembali ukhuwwah yang telah terjalin di antara kita. Bertepatan dengan tema kali ini "KEMBALI BERSATU DIPAYUNGI UKHUWWAH MAHABBAH". Moga majlis ini berjalan dengan lancar & di rahmati oleh Nya. InsyaAllah....

Untuk pengetahuan semua, acara penting untuk majlis kali ini adalah pemilihan pimpinan baru EX-SOK seperti yang tercatat di dalam perlembagaan, akan diadakan pemilihan jawatan baru selepas 3 tahun. Kerana itu kami mengharapkan kehadiran semua pelajar & bekas pelajar, malah tenaga pengajar untuk hadir bagi menentukan siapakah pimpinan baru yang layak untuk menerajui EX-SOK di masa hadapan...

Khamis, 9 September 2010

Perutusan Raya


Bersesuai dengan Idulfitri pada kali ini saya dengan ini ingin mengucapkan Salam Idulfitri kepada semua bekas-bekas pelajar SMU(A) Khairiah, Guru-guru SMU(A) Khairiah dan seterusnya pelajar-pelajar SMU(A) Khairiah.Salam Kemenangan kepada semua.Maaf Zahiriah dan Batiniah.

Sahabat dan Sahabiah sekalian,

Ramadhan yang kita lalui adalah sebuah sekolah yang mendidik kita dengan beberapa perkara.Antara subjek utama yang telah kita pelajari adalah sifat Taqwa,Ibadah kepada Allah Jalla wa ‘Alla,kesabaran,kasih-sayang dan sebagainya.Jadi disini izinkan diri ini dengan penuh kerendahan hati mengajak semua sahabat handai ,rakan dan taulan untuk sama-sama kita teruskan momentum ibadah kita selepas Ramadhan,begitu juga dengan pengajaran i’tibar Ramadhan lain yang telah saya sebutkan.Terkadang kita hanya praktikkan perkara-perkara tersebut hanya pada Ramadhan sahaja,tetapi malangnya setelah berakhir Ramadhan,maka berakhir juga amalan.Ternyata kita beramal hanya kerana Ramadhan bukan tulus kerana Allah Jalla wa ‘Azza.Inilah yang perlu dibaiki.Ulama Tasawwuf yang antaranya Ibnu Rajab al-Hanbali,bilamana berakhirnya ramadhan mereka akan memperingatkan kata-kata ini : ((كن ربانيّ ولا تكن رمضانيّ)).. maksudnya : jadilah orang yang beribadah kerana Tuhan bukan kerana Ramadhan.

Aidil Fitri sesungguhnya satu peluang dan ruang untuk kita kembali bersatu dibawah naungan ukhwah dan mahabbah sesama ummah.Konsep maaf-memaafkan yang diterapkan sempena Aidil Fitri perlulah dimaanfaatkan bagi kembali menjernihkan hubungan sekiranya terdapat kerengganan sebelumnya.Di atas dasar meraikan kenyataan Baginda SAW yang menerangkan bahawa : “Setiap anak Adam bersalah/melakukan kesalahan,sebaikkan orang bersalah adalah sesiapa yang memohon keampunan/bertaubat” .Ternyata setiap manusia biasa akan melakukan kesalahan,maka kita perlu memahaminya lantas tidak keberatan untuk mengucap maaf dan memaafkan.

Suka untuk saya kembali memperingatkan kalian tentang amalan-amalan di Aidil Fitri yang mungkin menjadi tazkirah kepada diri sendiri dan semua.Marilah sama-sama menelusuri lembaran Sirah SAW supaya dapat diikuti oleh kita dalam meraikan Aidil Fitri.

1- Disunatkan mandi,memakai wangi-wangian dan memakai pakaian yang indah-indah.Diriwayatkan bahawa Nabi SAW memakai Bard Habrah(Pakaian dari Yaman) setiap Hari Raya.Dari Hassan al-Bast katanya : (( Rasulullah menyuruh kami pada 2 hari Raya supaya memakai apa yang paling elok yang kami ada,memakai wangian yang paling elok yang kami ada dan kami korbankan yang terbaik yang kami ada)).

2- Makan sebelum keluar solat pada Aidil Fitri : Disunatkan makan tamar dalam jumlah ganjil sebelum keluar solat Sunat ‘Id.Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Anas katnya : ((Adalah Nabi SAW tidak akan keluar pada Hari Raya Fitrah sehingga baginda makan buat tamar dengan jumlah ganjil )).Kata Ibnu Qudamah : Tiada khilaf pada hal menyatakan sunat makan sebelum solat pada Hari Raya Fitrah.

3- Solat Sunat ‘Id,bagi lelaki ,wanita juga kanak-kanak ; jelas galakan dari Nabi SAW supaya semua golongan keluar bersolat dan mendengar peringatan dan pengajaran.Sebagai tambahan,ramai dari kalangan ulama’ menyatakan sunat kita keluar solat melalui jalan lain dan pulang melalui jalan yang lain samaada imam atau makmum.Dari Jabir : (( Bawasanya Nabi SAW pada Hari Raya Fitrah,baginda menggunakan jalan yang berlainan )).

4- Mendengar khutbah,walaupun hukumnya hanya sunat sahaja,tetapi kita seeloknya mengambil peluang mendengar pesanan dan peringatan.Sebagaimana Sabda Baginda SAW : (( Kami berkhutbah,jadi barangsiapa yang suka untuk mendengar maka duduklah,dan sesiapa yang suka untuk pulang,maka pulanglah ))-Riwayat an-Nasai,Abu Daud dan Ibnu Majah.

Mengambil ‘ibrah dari tradisi Sahabat dan para Salafussoleh,ingin saya mengucapkan Tahniah kepada semua kerana berjaya menghabiskan ibadah Ramadahan dan Selamat Menyambut Hari Raya :

(( تقبل الله منا ومنك ))

Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu.

Hari Raya adalah Hari kegembiraan,maka tidak menjadi kesalahan malah dianjurkan untuk bergembira,mengadakan jamuan makan,berhibur dan sebagainya.Rasulullah sendiri menegur Abu Bakar as-Siddiq apabila beliau tidak bersetuju dengan hamba sahaya yang berhibur semasa hari raya.Lantas Rasulullah SAW menegur dengan menyatakan ((Wahai Abu Bakar,Sesungguhnya bagi setiap puak ada hari raya mereka,dan hari ini adalah Hari Raya kita)).Akan tetapi,di alam kegembiraan perlu ada batasan supaya tidak melampau dan masuk kepada peringkat yang haram dan memudaratkan.Kerana apa yang tidak di bolehkan tetap tidak dibolehkan sekalipun pada hari keraian seperti ini.

Sahabat dan Sahabiah sekalian,

Akhir kalam,banyakkan bertakbir pada hari Raya.Bezakan raya kita dengan raya umat lain.Anjuran dari sabda dan firman ternyata makin kita lupakan.Inilah sesuatu yang perlu kita kembali sinar dan gilapkan.

Sebagai pautan denganEX-SOK secara khusus,saya di kesempatan ini memohon maaf andai terdapat kelemahan dan kesalahan semasa mengemudi bahtera ini,semoga kita terus cekal menempuh ujian tanggungjawab dan amanah sebagai duta-duta kecil yang mahu membantu sekolah dan sahabat-sahabat lain.Salam AIDUL FITRI…

****الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر كبيرا، الله أكبر ولله الحمد****

Ditulis oleh: Presiden EX-SOK

Ahad, 5 September 2010

Kombinasi Solat Tarawih & Puasa Alternatif Amalan Hidup Sihat


KAJIAN mengenai hikmah berpuasa sudah banyak dibuat bukan saja sarjana Islam bahkan pengkaji Barat seperti garapan Steve Meyerowits dalam buku Fasting and Eating for Health, Richard Schult dalam Juice Fasting, the Power of Healing dan Phyllis Balch dalam Prescription for Nutritional Healing.

Semuanya secara tuntas membuktikan kebaikan amalan berpuasa. Selain itu, kajian mengenai kebaikan amalan bersahur juga mula dibuktikan secara ilmiah. Contohnya, kajian semasa menunjukkan makanan paling utama dalam masa 24 jam adalah sarapan.

BBC News bertarikh 7 Mac 2003 melaporkan, bersarapan pagi adalah penting bagi memelihara kesihatan seseorang berbanding mengambil makanan pada waktu lain. Kajian Dr Mark Pereira dan rakannya dari Pusat Perubatan Harvard mendapati, mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi menjadi gemuk, mendapat sakit jantung dan menghidap penyakit kencing manis.

Kajian sama juga menunjukkan, mereka yang sentiasa bersarapan pagi menanggung risiko 50 peratus lebih rendah diserang masalah kesihatan yang berkaitan dengan lebihan kadar gula dalam darah berbanding mereka yang jarang bersarapan pagi.

Kajian Dr Theresa Nieklas dari Kolej Perubatan Baylor dan rakannya terhadap 700 pelajar dari Louisiana seperti dilaporkan Kerry Neville dari Chicago Tribune pada 24 September 2001 menunjukkan, mereka yang tidak bersarapan pagi menanggung risiko dua kali ganda mengalami kekurangan zat besi dalam darah dan ini menyebabkan penyakit anemia (penyakit berkaitan kekurangan hemoglobin dalam darah).

Kini, perkembangan teknologi dan ilmu menyebabkan saintis bukan saja berjaya membuat lebih banyak kajian berkaitan manfaat puasa dan sahur, bahkan terhadap amalan tarawih yang lazim dilakukan setiap malam Ramadan.

Ketika berpuasa Ramadan, umat Islam digalakkan menunaikan ibadat solat tarawih secara berjemaah di masjid. Solat tarawih ditunaikan sama ada lapan atau 20 rakaat setiap malam sebenarnya adalah suatu aktiviti fizikal sederhana.

Secara saintifiknya, kesan aktiviti fizikal sederhana dan berpuasa terhadap komposisi badan boleh dinilai dengan menggunakan teknik bioimpedans (BIA). Kajian sekumpulan penyelidik Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Universiti Malaya, mendapati ada beberapa kesan positif terhadap kesihatan seseorang yang bersolat tarawih.

Kajian selama 20 hari dilakukan kepada 18 peserta lelaki yang sihat tubuh badan berumur antara 19 hingga 21 tahun, dimulakan pada 30 Syaaban (Pengukuran Analisis Bioimpedans awal) dan berakhir pada 20 Ramadan (pengukuran BIA akhir).

Kajian yang dilaporkan dalam buku berjudul Solat: Kebaikan dari Perspektif Sains itu dijalankan berdasarkan standard dan saranan Persatuan Pemakanan Malaysia (PPM). Menurut PPM, untuk memastikan kesihatan berada pada tahap optimum, seseorang itu bukan hanya perlu melakukan senaman, juga menjaga pemakanan (diet).

Pergerakan fizikal dalam solat tarawih didapati meningkatkan aktiviti otot badan selari peningkatan kadar metabolisme basal (BMR) daripada nilai purata 1,455 kal kepada 1,486 kal. Juga didapati penurunan nilai jisim lemak badan (FM) sebanyak 21 peratus.

Keadaan ini sebenarnya setara aktiviti senaman aerobik sederhana dan amalan pemakanan seimbang yang boleh mengurangkan lemak badan. Penurunan nilai jisim lemak itu menunjukkan solat tarawih dan berpuasa adalah kombinasi yang boleh menghasilkan kesan sama seperti senaman aerobik sederhana dengan amalan diet seimbang.

Maka, jelas di sini solat tarawih sebenarnya berkesan untuk mengurangkan lemak yang berkumpul dalam badan. Apabila gumpalan lemak dalam badan berkurangan, tisu otot baru akan mula meningkat dan memenuhi ruang. Hasilnya, melambatkan proses penuaan dan kekenduran tisu.

Selain itu, solat tarawih mengurangkan nilai glukosa. Lazimnya pergerakan solat tarawih kira-kira 140 minit dalam satu sesi menurunkan kadar glukos dalam badan dengan nyata, keadaan ini sama dengan keputusan jika senaman tahap sederhana dilakukan melebihi 150 minit seminggu.

Kesan nilai komposisi badan yang lain ialah pertambahan jisim badan tanpa lemak seperti komponen sel dan tisu yang tiada lipid (lemak) termasuklah air, tulang dan tisu penghubung, menunjukkan tahap kesihatan lebih baik.

Dengan peningkatan BMR, pembakaran lemak dalam badan turut meningkat. Natijahnya, kandungan lemak dalam badan semakin berkurangan dan secara tidak langsung mengurangkan mendakan lemak dalam salur darah membolehkan kekenyalan salur darah meningkat.

Bagi sesetengah individu yang sentiasa mengeluh kerana tidak berdaya berjemaah terlalu lama semasa solat tarawih, kajian Dr Yusof Abbas menerusi bukunya Bio-Mekanik Solat sewajarnya dijadikan renungan.

Menurut beliau, kedudukan yang sempurna ketika solat seperti amalan regangan otot dan tendon secara betul ketika mengangkat takbir, meletakkan tangan di dada, ketika rukuk, sujud, duduk antara dua sujud akan memberi kesan positif kepada kesihatan.

Semua regangan yang betul ini jika dilakukan dalam tempoh lama akan meningkatkan aliran darah selain aktiviti ‘kembang kuncup’ otot pada bahagian yang terbabit. Ketika sujud, sebenarnya sudah berlaku regangan otot bahu, lengan, belakang badan, punggung, pelvik, peha dan betis.

Malah, akan berlaku juga regangan otot di sekeliling anus dan otot sekeliling pangkal kemaluan lelaki serta otot uterus wanita. Dengan kata lain, ada persamaan regangan otot ketika senaman ‘batin’ yang biasa diamalkan seperti senaman harimau atau teknik tertentu dalam gerakan yoga.

Banyak kajian jelas membuktikan solat tarawih dan berpuasa memberikan manfaat dari sudut kesihatan. Selain itu, kajian juga menunjukkan kombinasi solat tarawih dan berpuasa dari sudut kesihatan tubuh badan adalah bersamaan dengan senaman dan diet. Oleh itu, kombinasi ibadat solat tarawih dan berpuasa boleh menjadi alternatif dalam mengamalkan gaya hidup sihat serta boleh diamalkan bagi individu yang ingin menguruskan badan.

Source: ePondok

4 Sebab Sembunyi Lailatul Qadar

Kedatangan Ramadhan dengan kelebihannya terutama dianugerahkan satu malam daripada malam-malamnya yang dipanggil lailatul qadar hendaklah direbuti oleh kita semua sebagai umat yang cintakan Allah dan hari akhirat. Peluang yang datang jangan dilepaskan begitu sahaja kerana kelak kita kerugian yang tidak mampu dibayar dengan tangisan dan penyesalan. Melalui beberapa hadis Rasulullah s.a.w, baginda menerangkan bagaimana pada kebiasaannya malam lailatul qadar akan datang pada sepuluh akhir Ramadhan.

Oleh itu gunakanlah masa ini sebaiknya untuk beribadat janganlah terlalu sibuk dengan persiapan hari raya sahaja. Islam tidak melarang umatnya bersiap untuk berhari raya tetapi kita juga mesti mengutamakan bekalan akhirat yang lebih utama. Betapa ramai yang menghabiskan sepuluh terakhir Ramadhan di kedai-kedai, supermarket, pasaraya dan sebagainya kerana mahu menyambut hari raya sedangkan pada masa yang sama tawaran yang lebih hebat apabila kita beramai-ramai menghidupkan sepuluh malam terakhir itu di surau atau masjid. Janganlah kerana mahu mengejar sementara kita terlupa kepada bekalan apabila bertemu dengan Allah di akhirat sana.
MAKSUD SURAH AL-QADAR

Firman Allah dalam surah al-Qadar 1-5 yang bermaksud : Sesungguhnya Kami telah menurunkan ( al-Quran ) pada malam al-Qadar (kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah itu malam Lailatul qadar?. Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Di malam itu turun para malaikat dan Jibril dengan Izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Pada malam itu (penuh ucapan) kesejahteraan sehingga terbit fajar.

SEBAB PENURUNAN SURAH AL-QADAR

Di sini ada beberapa riwayat yang menceritakan mengenai sebab diturun dan diberi kelebihan malam al-Qadar yang dianugerahkan kepada umat nabi Muhammad s.a.w dan tidak diberi kepada umat sebelumnya.

1. Ibu Jarir mengeluarkan daripada Mujahid dengan katanya : Adalah pada umat bani Israel ada seorang pemuda mendirikan malam sehingga Subuh. Kemudian dia berjihad melawan musuh pada siang hari sehingga petang. Dia melakukan amalan ini selama seribu tahun lalu Allah menurunkan ayat ini yang memberi galakan dan kelebihan kepada umat nabi Muhammad s.a.w yang mendirikan malam al-Qadar di mana mereka akan memperolehi ganjaran yang lebih baik daripada pemuda bani Israel tadi.

2. Ibnu Munzir, Ibnu Abi Hatim dan Baihaki dalam sunannya daripada Mujahid memberitahu bagaimana nabi telah menceritakan tentang seorang pemuda bani Israel telah membawa senjata berjihad di jalan Allah selama seribu tahun maka seluruh umat Islam yang mendengar perkara ini merasa begitu kagum lalu Allah menurunkan ayat ini yang menyatakan bagaimana umat ini akan dapat menandingi ganjaran yang diperolehi oleh pemuda tadi dengan mendirikan malam lailatul qadar.

3. Ibnu Abi Hatim daripada Ali bin Urwah telah memberitahu bahawa pada suatu hari nabi telah menyebut tentang 4 orang daripada bani Israel di mana mereka telah menyembah Allah selama 80 tahun tanpa membuat maksiat walau pun sekelip mata. Semua muslimin yang mendengar cerita ini merasa kagum lalu datanglah Jibril membawa datang ayat ini bagi memberi semangat kepada umat nabi Muhammad s.a.w agar menghidupkan malam al-Qadar supaya mereka akan memperolehi kelebihan melebihi amalan pemuda bani Israel tadi.

4. Malik bin Anas memberitahu bahawa Rasulullah s.a.w apabila melihat kepada umur manusia zaman sebelum ini, maka baginda umur umatnya terlalu singkat di mana baginda merasa bimbang kepada amalan-amalan umat ini yang pasti tidak akan dapat menyamai amalan umat terdahulu. Maka Allah mengurniakan kepada baginda dan umat akhir zaman dengan suatu malam yang lebih baik daripada seribu blan bagi umat lain.

SEBAB DISEMBUNYIKAN MALAM AL-QADAR

Menurut Imam al-Razi seorang penafsir terkenal telah menulis mengenai sebab Allah menyembunyikan malam al-qadar daripada pengetahuan kita iaitu sebagaimana berikut :

Pertama : Allah menyembunyikan malam al-qadar sebagaimana Dia menyembunyikan seluruh rahsia sesuatu yang lain seperti Dia menyembunyikan keredhaanNya dalam ketaatan seseorang hamba sehingga menimbulkan kegemaran dalam melakukan semua ketaatan kepada Allah. Allah juga menyembunyikan saat-saat diperkenankan doa agar setiap pemohon bersungguh-sungguh setiap kali berdoa. Begitulah juga Dia menyembunyikan malam al-qadar agar umat Islam dapat membesarkan kesemua malam bulan Ramadhan tanpa memilih malam tertentu sahaja.

Kedua : Jika diberitahu secara jelas tentang malam al-Qadar maka ditakuti manusia yang tahu tentang kedatangan malam tersebut tetapi dia tidak berusaha untuk merebutnya dengan amal ibadat atau pun dia melakukan maksiat. Ini akan menyebabkan dia terjerumus ke lembah kecelakaan dalam keadaan dia tahu dan ingatlah bahawa berbuat maksiat atau tidak bersungguh dalam melakukan ibadat dalam keadaan kita tahu ia merupakan malam yang mempunyai kelebihan yang besar adalah lebih berat dosanya daripada kita tidak mengetahuinya. Oleh itu dirahsiakan malam al-qadar.

Ketiga : Supaya seseorang mukallaf itu bersungguh-sungguh berusaha mencari malam al-qadar sehingga dia mampu memperbanyakkan ibadat lalu dia memperolehi pahala daripada kesungguhannya itu.

Keempat : Seseorang yang meyakini akan datangnya malam al-qadar maka dia akan bersungguh-sungguh mencarinya pada keseluruhan malam Ramadhan dengan harapan akan berkebetulan dengan malam al-qadar. Allah akan bermegah dengan usahanya ini dengan menyatakan kepada para malaikat bahawa inilah manusia yang pernah kamu katakan bahawa mereka akan melakukan kerosakan dan pertumpahan darah di bumi sedangkan apa yang kamu lihat ialah mereka merupakan makhluk yang kuat beribadat

Rujukan
1. Al-Quran al-Karim
2. ad-Durrul al-Manthur fi al-Tafsir al-Ma’thur, Imam Sayuti, Darul Fikr

Source: ePondok

Related Posts with Thumbnails